Tuesday, June 16, 2015

PKR kini penentu PR wujud atau tidak


PR



KUALA LUMPUR - Umpama telur di hujung tanduk, pendirian terbaharu DAP bahawa PR 'tidak lagi wujud' pastinya meletakkan PKR dalam keadaan genting untuk membuat keputusan mengenai kedudukan pakatan pembangkang.

Sama ada PR, gabungan kerjasama politik yang dibentuk DAP, Pas dan PKR pada 1 April 2008 akan berkubur atau kekal, sebenarnya bergantung kepada pendirian PKR, yang kini tersepit sama ada mahu menyebelahi DAP atau Pas.

Penganalisis politik melihat keputusan dan pendirian PKR akan menjadi penentu, selepas Pas dan DAP memutuskan hubungan kerjasama sesama mereka dan masing-masing pula hanya mahu menjalinkan kerjasama dengan PKR.

Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli, yang juga Naib Presiden parti, dilapor sebagai berkata PKR akan mengadakan mesyuarat Biro Politik mingguan malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu berkenaan.

Perseteruan antara Pas dan DAP tiba di kemuncaknya hari ini apabila DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud. Pendirian DAP, yang diumumkan Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng, diputuskan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dalam mesyuaratnya semalam, yang mencapai kata sepakat bahawa PR tidak lagi wujud.

Ini susulan daripada keputusan Muktamar tahunan Pas ke-61 pada awal bulan ini yang menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama yang mahu Pas memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama pakatan.

Lim berkata keputusan Muktamar Pas itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Selangor dan Pulau Pinang terkesan? 

Sudah pasti kesan kepada keputusan DAP itu akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai mereka di Selangor dan juga Pulau Pinang.

Komposisi Dun Selangor yang mempunyai 56 kerusi, Pas dan DAP masing-masing menang 15 kerusi, PKR (13), BN (12) dan Bebas (satu). Bagi Dun Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (10), BN (10) dan Pas (satu).

Apakah nasib Selangor dan Pulau Pinang ekoran pergolakan politik pakatan pembangkang?  

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berpendapat keputusan DAP itu tidak akan menjejaskan perjalanan kerajaan negeri di Selangor mahupun Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada komitmen semua Adun parti-parti berkenaan untuk memberikan sokongan kepada kepimpinan negeri yang ada sekarang.

"Di Selangor, saya rasa tidak menjadi masalah selagi Adun Pas dan DAP memberikan sokongan kepada (Menteri Besar Selangor) Mohamad Azmin (Ali) untuk terus menerajui kerajaan negeri," katanya kepada Bernama.

Che Hamdan meramalkan bahawa PKR akan terus menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua parti itu bagi memastikan mereka tidak menghadapi risiko kehilangan jawatan Menteri Besar di Selangor.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed pula berpendapat jika DAP masih meneruskan hubungan kerjasama politik dengan PKR, ini akan membolehkan kedua-dua parti itu membentuk kerajaan di Pulau Pinang tetapi tidak di  Selangor.

"Di sisi undang-undang, kerajaan pakatan di Pulau Pinang tidak akan terjejas kerana Pas hanya mempunyai satu kerusi, jadi jumlah kerusi majoriti masih dikuasai oleh DAP dan PKR.

"Tetapi sebaliknya akan berlaku di Selangor jika Pas menarik diri daripada pakatan. Implikasinya besar kerana jika PKR dan DAP bergabung mereka hanya mempunyai 28 kerusi sahaja dan ini tidak cukup untuk membentuk kerajaan," katanya.

Ahmad Martadha menambah meskipun Pas dan Umno bergabung selepas ini, masalah kekurangan satu kerusi tetap wujud untuk membentuk kerajaan dan bagi menyelesaikan perkara itu, Sultan Selangor perlu bertindak memanggil Menteri Besar dengan kadar segera bagi mengetahui keadaan semasa yang berlaku.

"Adalah tidak mustahil sekiranya Dun Selangor akan dibubarkan bagi memastikan siapakah yang akan mempunyai kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan," katanya.

DAP dipengaruhi persepsi

Jika dilihat pada sejarah, Pas dan DAP pernah bekerjasama menerusi Barisan Alternatif (BA) pada 1999 yang turut dianggotai Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum Keadilan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.

Lantaran tidak bersetuju dengan dasar Pas memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001. Ini menjadikan hanya Pas dan Keadilan kekal bekerjasama dan memberi tentangan kepada BN pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Apakah sebenarnya yang mahu dilakukan DAP?

Che Hamdan berkata pendirian DAP pada hari ini dilihat tergantung sama ada mahu membubarkan pakatan pembangkang atau parti itu keluar daripada pakatan.

"Kenyataan DAP ini dikeluarkan atas persepsi bahawa muktamar Pas telah meluluskan usul berpisah dengan DAP," katanya.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 5 Jun lepas dilapor sebagai berkata usul Dewan Ulama Pas itu akan dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pas Pusat.

Ini sekaligus menggambarkan ia bukanlah pendirian rasmi Pas.

Pakatan bukan gabungan yang sah

Ahmad Martadha berkata 'Pakatan Rakyat' yang diwujudkan Pas-PKR-DAP untuk membentuk kerajaan bukanlah satu gabungan yang sah kerana ia tidak didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau berkata sama ada Pas atau DAP keluar daripada pakatan pembangkang, PR tetap tidak akan terbubar kerana ia adalah gabungan parti-parti politik yang diwujudkan secara tidak formal bagi menentang BN.

Ahmad Martadha berkata krisis yang berlaku dalam pakatan pada hari ini sememangnya sudah diramal oleh ramai pihak ekoran perbezaan ideologi politik terutama antara DAP dan Pas.

Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini dilapor berkata pakatan pembangkang masih wujud dengan adanya kerjasama antara Pas dan PKR meskipun DAP mengisytiharkan gabungan tersebut tidak lagi wujud.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata pakatan pembangkang ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan ketiga-tiga parti berkenaan dan apa jua keputusan perlu dicapai secara bersama dan bukannya secara bersendirian.

Nik Mohamad Abduh mengakui masa depan pakatan pembangkang kini di tangan PKR untuk memutuskannya dan menyelamatkan daripada krisis yang dihadapinya. - Bernama

No comments:

Post a Comment